Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam
Yusmizal Dolah Aling

DATUK Lokman Noor Adam mengesahkan dirinya dipecat sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada malam ini.

Menurutnya, pemecatan tanpa sebarang makluman rasmi itu diputuskan dalam mesyuarat petang tadi dan beliau turut dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp MT pada 8.01 malam.

Ketika dihubungi Harian Metro, Lokman berkata, ia dipercayai ada kaitan dengan tindakannya mempersoalkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kemungkinan parti akan bergabung dengan pakatan baharu bersama kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tindakan ini kerana ada yang tidak mahu diganggu ketika buat keputusan mengenai pakatan baru ini.

“Saya belum menetapkan apa yang akan dibuat selepas ini, buat masa ini masih berada di luar negeri. Tengoklah lepas balik nanti,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Bung Moktar Radin mengesahkan isu mengenai kedudukan Lokman dibincang di dalam mesyuarat MT dan beliau akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti.

Isu kritikan Lokman ke atas Ahmad Zahid mengundang pelbagai reaksi ahli parti yang mahu tindakan diambil ke atas calon Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 10:40 PM