Mesyuarat MT UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Mesyuarat MT UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Yusmizal Dolah Aling

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah memberikan penjelasan terkini berhubung situasi politik semasa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, Ahmad Zahid memberikan pelbagai senario yang berkemungkinan berlaku dan ia dinilai secara bersama dengan PAS dalam semangat Muafakat Nasional.

Menurutnya, MT juga berpuas hati dengan penjelasan itu dan memberikan pandangan secara terbuka untuk perhatian dan tindakan Presiden.

“MT merasa amat bimbang dengan kedudukan orang Melayu, umat Islam dan rakyat keseluruhan yang semakin terhimpit berpunca dari kegagalan Pakatan Harapan (PH).

“MT juga bersetuju untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional dengan mempertingkatkan gerak kerja terutama mempertingkatkan gerak kerja bersama PAS terutama dalam berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, MT turut melantik Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.

Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Apandi Ali yang meletakkan jawatan 26 Disember tahun lalu.

Selain itu, kenyataan terbabit turut menyebut mengenai Persidangan UMNO Cawangan yang akan diadakan bermula 15 Februari sehingga 19 April 2020 diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian (1 Jun hingga 20 Julai, Konvensyen UMNO Negeri (1 Ogos hingga 15 September) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 26 hingga 31 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 8:18 PM