ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tanpa mengesahkan atau menafikan sekiranya rakaman audio yang dikatakan memaparkan perbualan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah tulen, Anwar sebaliknya mengutarakan soalan: kalau betul, apa masalahnya?

Ketika 'diasak' moderator pada satu sesi dialog anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini mengenai perkara berkenaan, Ketua Pembangkang itu mempersoalkan sama ada wujud sebarang elemen jenayah dalam rakaman perbualan itu.

"Apa isi masalahnya, kalau betul (rakaman itu tulen), adakah ada khianat di situ? Rasuah? Ada kesalahan jenayah? ...tidak ada.

"Kalau tidak ada masalah, apa masalah nak bangkitkan dalam majlis macam ini, apa untungnya untuk rakyat? Saya dah buat kenyataan, Zahid (Ahmad Zahid) dah buat kenyataan, cukup.. move on," kata beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam sesi dialog, Bicara Tokoh: No Holds Barred anjuran MPN di sini.

Mengakui belum lagi membuat laporan polis mengenainya disebabkan jadual yang padat, Anwar menganggap penyebaran audio berkenaan hanya bermotifkan politik dan isu sebenar yang perlu diberi perhatian sepatutnya ialah siapa yang mengintip dan mengeluarkan rakaman berkenaan.

Rakaman audio perbualan di antara dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar itu tersebar dengan meluas di media sosial dan blog, didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan polis membuka kertas siasatan mengenainya.

Sementara itu, di Perlis, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, individu yang terbabit dalam rakaman audio itu perlu memberitahu rakyat secara terus terang mengenai pendirian sebenar mereka.

"Mereka perlu berterus terang kepada rakyat jika wujud pakatan politik bersama. Selain itu perlu membuat laporan polis berhubung isu audio itu bagi pihak polis mengesahkan sama ada audio itu tulen atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar meminta agar Umno tidak menggunakan alasan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menangguh pemilihan parti itu yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh tiga tahun.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, mengikut perlembagaan Umno, penangguhan pemilihan parti dibenarkan dibuat dalam tempoh 18 bulan oleh MT dan tempoh matang bagi kepimpinan UMNO sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 3:54 PM