Lokman Adam. ARKIB NSTP
Lokman Adam. ARKIB NSTP
Yusmizal Dolah Aling


SURAT pemecatan Datuk Lokman Adam sebagai ahli UMNO dijangka keluar esok selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan mengenainya Jumaat lalu.

Sumber berkata, dengan adanya surat berkenaan, secara rasmi Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan itu bukan lagi ahli parti.

Katanya, ia susulan tindakan Lokman yang dilihat secara berterusan menyerang Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan yang terbaru mendakwa pemimpin itu cuba mewujudkan kerjasama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataannya berkata, dengan pemecatan Lokman itu ia sekaligus menyebabkan dia hilang kelayakan sebagai ahli MKT.

Katanya, Lokman dalam banyak perkara tidak bercakap benar, tidak memahami Perlembagaan UMNO terutama membabitkan kedudukan dan bidang kuasa Presiden serta ahli MKT yang dilantik.

MKT UMNO bermesyuarat petang Jumaat lalu, manakala pada sebelah pagi diadakan mesyuarat Biro Politik parti berkenaan yang antara lainnya membuat syor mengenai kedudukan Lokman.

Bagaimanapun, calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis itu tidak hadir kerana berada di luar negara.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan, mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) yang akan diadakan di PWTC malam esok hanya akan membincangkan mengenai kerjasama kedua-dua parti (UMNO dan PAS).

Sumber memaklumkan, seperti mana mesyuarat sebelum ini, mesyuarat terbabit akan dihadiri oleh wakil kedua-dua parti dan akan berbincang mengenai isu semasa serta konteks kerjasama MN terutama mendepani isu politik tempatan.

“Ia mesyuarat biasa seperti yang diadakan sebelum ini. Tidak ada perbincangan di luar konteks kerjasama malah ia sama seperti yang diputuskan dalam MKT kelmarin dan Mesyuarat Bulanan PAS semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 2:15 PM