Lokman Noor Adam. FOTO Arkib NSTP
Lokman Noor Adam. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


AHLI Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam mengesahkan tidak akan menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO petang ini kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, isu untuk membentuk gabungan bersama kerajaan Pakatan Harapan seperti mana dijelaskan Ahmad Zahid dalam mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional tidak sepatutnya timbul kerana ia sudah diputuskan dalam perhimpunan Agung parti.

Katanya, dia berpendirian bahawa MKT tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan mengenai perkara itu sebaliknya ahli parti yang boleh berbuat demikian.

“Bagaimanapun, menerusi maklumat yang saya ada, kemungkinan perkara ini (keputusan bergabung) akan ditunda kerana mendapat tentangan yang besar dari ahli kebelakangan ini.

“Sudah sampai masanya ahli UMNO tidak menjadi pak turut. Saya sendiri tidak mahu menjadi ‘rubber stamp’ di dalam MKT dengan hanya bersetuju saja. Ahli sudah memberi pandangan yang jelas melalui media sosial yang ada,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kedudukannya, Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan berkata, dia menjangkakan bahawa akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti dan dikenakan tindakan, namun jika dipecat, beliau menganggapnya sebagai satu penghormatan dalam berjuang.

“Saya pernah dipecat dari UMNO pada 6 Oktober 1998, dan dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat juga. Kalau kena pecat sekali lagi, tak ada kesan kepada saya malah jadi lebih mudah untuk saya menegur Pakatan Harapan termasuk sekutunya yang jadi gunting dalam lipatan di dalam UMNO,” katanya.

Mesyuarat MKT akan berlangsung petang ini dijangka membincangkan hala tuju UMNO, Muafakat Nasional serta kedudukan Lokman di dalam parti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 9:58 AM