Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) memaklumkan berhubung pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan tidak lama lagi
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) memaklumkan berhubung pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan tidak lama lagi
Hazwan Faisal Mohamad

MALAYSIA tidak berdepan risiko kemelesetan sebaliknya langkah kerajaan mahu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pakej rangsangan ekonomi bagi mengekang impak penularan koronavirus itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan segera mengadakan perjumpaan dengan pemain industri bagi mendapatkan input.

"Tiada risiko kemelesetan untuk (berlaku terhadap) Malaysia. Tetapi apa yang kami mahukan ialah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Kementerian juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang terjejas akibat koronavirus ini dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan input daripada mereka," katanya.

Ditanya bilakah pakej rangsangan itu akan dapat disiapkan, Guan Eng berkata, beliau perlu membentangkannya kepada kabinet terlebih dulu sebelum mengumumkannya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan pengecualian cukai dan bil elektrik seperti pernah dilakukan kerajaan sebelum ini sewaktu penularan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2003.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan tadi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian, pihak industri dan syarikat perkhidmatan berkaitan bagi mendapatkan input berhubung perancangan pakej rangsangan ekonomi berikutan penularan koronavirus.

Kementerian yang akan terbabit dalam perbincangan bersama itu ialah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam kenyataan tadi, berharap kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar untuk membantu sektor yang terjejas ekoran jangkitan novel koronavirus 2019.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak SARS manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:19 PM