KAKITANGAN kesihatan dalam sut keselamatan lengkap  menyaring kesihatan seorang wanita ketika pemeriksaan pintu ke pintu di sekitar Wuhan, daerah Hubei, China, semalam. FOTO Reuters
KAKITANGAN kesihatan dalam sut keselamatan lengkap menyaring kesihatan seorang wanita ketika pemeriksaan pintu ke pintu di sekitar Wuhan, daerah Hubei, China, semalam. FOTO Reuters
Mahanum Abdul Aziz

MALAYSIA antara negara terawal melaksanakan pakej rangsangan bagi menangani impak penularan koronavirus baharu (Covid-19), demikian kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pakej rangsangan itu untuk membantu sektor terjejas supaya terus beroperasi dan mampu meraih manfaat lonjakan ekonomi jika virus berkenaan dibendung.

Katanya, pengenalan pakej rangsangan itu juga bertujuan mengukuhkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.

“Malaysia negara terawal memperkenalkan pakej rangsangan. Ada pihak mengatakan kita terlalu cepat kerana belum jelas kesan koronavirus baharu,” katanya bagi mengulas dakwaan Malaysia terlalu lambat memperkenalkan pakej rangsangan bagi menangani kesan penularan virus itu terhadap ekonomi.

Pada Jumaat lalu, Kementerian Kewangan berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini.

Pakej rangsangan itu untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat penularan COVID-19 terhadap Malaysia, sambil memelihara kebajikan rakyat.

Pakej itu bukan belanjawan baharu mahupun sebahagian dasar Belanjawan 2020, sebaliknya, bantuan disalurkan kepada sektor terkesan bagi membolehkan ekonomi negara muncul semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi.

Mengulas sama ada Malaysia berada dalam ketakutan berdepan kemelesetan, Guan Eng berkata, Malaysia tidak berada dalam ketakutan berdepan kemelesetan.

Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan keyakinan terhadap ekonomi negara terus kukuh.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi penyaluran geran padanan pendigitalan RM500 juta bagi syarikat kecil dan sederhana (PKS), Guan Eng berkata, penyertaan wanita dengan memegang jawatan pengurusan tertinggi dalam sektor perbankan meningkat.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan memberi peluang kepada wanita menerajui barisan pengurusan tertinggi syarikat atau organisasi.

“Contohnya, hari ini, Rossana Annizah memulakan hari pertamanya sebagai Pengerusi BSN. Beberapa lagi jawatan Pengerusi bank disandang wanita termasuk Datuk Zaiton Mohd Hassan (Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd) dan Datuk Mohaiyani Shamsuddin (Pengerusi Maybank).

“Ini petunjuk kita beri peluang wanita pegang jawatan penting. Kita lihat Timbalan Perdana Menteri juga wanita, Ketua Hakim Negara wanita dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 7:10 AM