LANGKAH pemulihan bantu sektor pelancongan yang terjejas akibat jangkitan koronavirus baharu.
LANGKAH pemulihan bantu sektor pelancongan yang terjejas akibat jangkitan koronavirus baharu.
HM Bisnes

PAMERAN Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berharap kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar untuk membantu sektor terjejas ekoran jangkitan koronavirus baharu.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang dalam kenyataan berkata, pada 2003 kerajaan melaksanakan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

“Matta harap pakej rangsangan ekonomi diumumkan tidak lama lagi melebihi pelan pertumbuhan RM8.1 bilion dilaksanakan pada 2003 atau pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan pada 2009,” katanya.

Menurutnya, Matta bersama pihak berkepentingan industri utama mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Kesihatan dan Tourism Malaysia untuk mewujudkan strategi menangani kemerosotan mengejut dan ketara angka perjalanan ke Malaysia berikutan koronavirus.

Matta mencadangkan langkah pemulihan yang bersifat berpandangan jauh.

Menurutnya, ia termasuk peningkatan promosi dan inisiatif pemasaran bagi pelancongan domestik dan ke dalam negara, mengurangkan kriteria dan keperluan untuk geran padanan di bawah Galakan Melancong Malaysia (Gamelan Malaysia).

“Kami mencadangkan semakan semula kadar Cukai Pelancongan (TTX) untuk menggalakkan lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi percutian,” katanya.

Tan berkata, pelbagai kementerian boleh mengurangkan atau mengecualikan caruman diwajibkan, contohnya bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Pembangunan Sumber Manusia, cukai pelancongan, cukai jalan, dan fi untuk pelbagai lesen syarikat dan permit kenderaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:10 AM