Polis memeriksa PATI yang ditahan sekitar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Polis memeriksa PATI yang ditahan sekitar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


POLIS menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas dilakukan sekitar Kota Kinabalu, semalam.

Operasi bermula 4 petang hingga 10 malam itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya memeriksa 30 PATI dalam operasi berkenaan namun 24 dibebaskan selepas pemeriksaan dokumentasi dijalankan.

“Kita tahan enam daripada mereka atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen. Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, operasi dilakukan di kawasan tumpuan sekitar bandar raya berkenaan.

“Lambakan PATI dibimbangi meningkatkan kadar kegiatan jenayah di daerah ini. Sebab itu kita lancarkan operasi," katanya.

Katanya, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dalam usaha menangani masalah PATI sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

"Kita meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kepada balai polis berhampiran atau menerusi media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 6:52 PM