AZMI ABDUL RAHIM
AZMI ABDUL RAHIM
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PROSES saringan kemasukan semua warga asing di pintu masuk di Johor tidak dapat dilakukan kerana mesin pengimbas suhu badan yang terhad.

Pakar Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Dr Azmi Abdul Rahim berkata, hanya terdapat empat mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk di Johor iaitu masing-masing dua di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Sudah tentunya peralatan ini tidak mencukupi untuk menyaring suhu badan semua individu yang memasuki negara ini melalui Johor.

“Oleh itu, kita memberi keutamaaan kepada warga China ekoran penularan koronavirus baharu dari negara terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan orang ramai yang mendakwa proses saringan di pintu masuk di Johor agak longgar berbanding di Singapura pada sesi taklimat bersama media berhubung penularan wabak koronavirus baharu di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Putrajaya, hari ini.

Ketika ini KKM memiliki 54 mesin pengimbas suhu badan di seluruh negara bagi mengenal pasti individu yang mempunyai simptom wabak berkenaan.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kelulusan serta merta peruntukan tambahan untuk mendapatkan 12 pengimbas suhu badan baru oleh Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 2:57 PM