Nurul Amanina Suhaini

TIADA kes disyaki membabitkan jangkitan novel coronavirus dilaporkan di Johor, sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Jabatan Kesihatan Johor sentiasa memantau perkembangan itu, selain memastikan pengesanan awal kes yang berpotensi masuk ke negeri ini.

Katanya, pelawat dari luar negara khususnya negara China dan warga tempatan yang ingin ke luar negara akan dipantau menerusi saringan kesihatan di 12 pintu masuk antarabangsa sama ada darat, laut dan udara.

“Dua kaedah pemantauan dijalankan antaranya ketika di dalam penerbangan. Sekiranya ada sakit atau demam, perlu buat laporan secara terus ketika dalam penerbangan.

“Kedua, adalah apabila menjalankan saringan kesihatan di sini (pintu masuk negara), jika didapati suhu tinggi melebihi 38 darjah selsius, maka terus memaklumkan kepada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya.

PEGAWAI Jabatan Kesihatan Johor memantau kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor.FOTO Zain Ahmed
PEGAWAI Jabatan Kesihatan Johor memantau kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor.FOTO Zain Ahmed

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan penggunaan mesin pengimbas sistem gelombang dan suhu badan bagi saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Dalam pada itu, Cai Tung berkata, Jabatan Kesihatan Johor sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membincangkan kaedah menguruskan pelawat dari China ketika penyebaran wabak sedang berlaku pada masa kini.

Difahamkan, jangkitan novel coronavirus mula dikesan di Wuhan, China, sejak Disember tahun lalu.

Sehingga kini, 205 kes disahkan dijangkiti wabak dengan kematian dilaporkan di seluruh dunia membabitkan empat negara iaitu China (201), Thailand (2), Korea (1) dan Japan (1).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 11:43 AM