KAKITANGAN sedang memeriksa suhu pelawat ke bangunan Komtar. FOTO ZUHAINY ZULKIFLI
KAKITANGAN sedang memeriksa suhu pelawat ke bangunan Komtar. FOTO ZUHAINY ZULKIFLI
Zuhainy Zulkiffli


KERAJAAN Negeri Pulau Pinang menjalankan saringan suhu badan di semua pintu masuk pusat pentadbirannya, bermula hari ini, sebagai langkah pencegahan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ujian saringan suhu itu membabitkan pintu masuk di aras satu, dua dan tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang dilakukan seawal 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Yew Tung Sea berkata, tindakan itu adalah bagi keselamatan kakitangan dan orang ramai yang berurusan di pusat pentadbiran itu.

“Langkah ini bermula di pusat pentadbiran kerajaan negeri dan kita akan pertimbangkan kaedah sama di bangunan kerajaan lain mengikut keadaan semasa.

“Langkah saringan itu seiring dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Tinjauan Harian Metro mendapati di setiap pintu terdapat empat hingga lima petugas pada satu masa melakukan ujian suhu kepada orang ramai yang memasuki pusat pentadbiran itu.

Kesemua yang diperiksa juga memberi kerjasama baik ketika saringan suhu badan dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi menyambut baik langkah yang diambil Kerajaan Negeri dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan.

“Satu inisiatif yang baik daripada pihak pengurusan, yang mana ia secara tidak langsung boleh meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan dan orang awam supaya terus menjaga kesihatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 12:55 PM