PENIAGA yang mendaftar SKSPS di Pasar Pagi Bandar Permaisuri. FOTO Zaid Salim.
PENIAGA yang mendaftar SKSPS di Pasar Pagi Bandar Permaisuri. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


MENYEDARI kepentingan dan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), hampir 80 peratus peniaga di pasar pagi Bandar Permaisuri, Setiu mendaftar dan mencarum dalam skim itu.

Ia sempena program Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Bersama Pemimpin Masyarakat, hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.

Peniaga jam, Andrizal Mawi, 55, dari Kampung Raja, Besut, berkata, dia mencarum kerana menyedari kepentingan skim yang diperkenalkan PERKESO.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Jadi dengan adanya caruman ini, sekurang-kurangnya ia memberi faedah dan kebaikan kepada keluarga sekiranya berlaku kejadian buruk pada diri saya,” kata yang memiliki dua anak berusia 24 dan 12 tahun.

Malah, Andrizal berkata, caruman SKSPS juga sangat rendah iaitu RM13.10 sahaja.

Peniaga pakaian terpakai, Rogayah Abd Rahman, 54, berkata, golongan bekerja sendiri seharusnya tidak melepaskan peluang kerana ia memberi banyak kebaikan kepada pencarum.

“Kalau sebelum ini hanya golongan bergaji tetap sahaja yang berpeluang mencarum tetapi kini semua orang boleh menjadi pencarum PERKESO.

“Saya terfikir untuk mencarum selepas mendengar taklimat yang diberikan dan ia bagus untuk masa depan saya dan anak-anak,” katanya yang memiliki 10 anak termasuk seorang Orang Kurang Upaya (lembam).

Sementara itu, Pegawai Perhubungan PERKESO negeri, Mohd Sabri Ramli berkata, pihaknya teruja dengan sambutan menggalakkan diberikan peniaga dan penjaja di pasar berkenaan.

“Bagi memudahkan orang ramai membuat urusan pendaftaran dan caruman, kami akan membuka kaunter di kawasan tumpuan ramai seperti pasar dan tempat awam di seluruh negeri ini.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan faedah lain yang disediakan PERKESO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:04 PM