MOHD Nor Hafizi (tiga dari kiri) menunjukkan  replika cek diterima. Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Nor Hafizi (tiga dari kiri) menunjukkan replika cek diterima. Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


TIDAK sampai seminggu mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), seorang penghantar barang menerima faedah hasil dari caruman peribadinya itu.

Mohd Nor Hafizi Hashim, 32, mendaftar SKSPS pada 8 Januari lalu dan enam hari selepas itu, dia terbabit dalam kemalangan ketika membuat penghantaran barangan di Kampung Dalam Rhu, di Tumpat.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Nora Yaacob berkata, Mohd Nor Hafizi mendaftar sebagai Orang Bekerja Sendiri (OBS) dan pencarum pertama yang menerima manfaat di bawah SKSPS di Kelantan sejak skim itu diperkenalkan 1 Januari lalu.

Nora berkata, Mohd Nor Hafizi menerima RM2,438.66 akibat kemalangan yang menyebabkannya hilang upaya sementara.

“Atas kesedaran kerja penghantaran barangan dengan menunggang motosikal terdedah kepada risiko kemalangan tinggi, dia mendaftar sebagai OBS.

“Dia memilih pelan ketiga dengan membayar sebanyak RM36.90 sebulan atau RM442.80 setahun bermula hari pendaftaran.

“Selepas beberapa hari kemalangan menimpa, Mohd Nor Hafizi mengemukakan Borang Tuntutan Faedah (Skim Pekerjaan Sendiri) ke pejabat Perkeso Kota Bharu dan pihak kami segera memproses untuknya menerima manfaat cari caruman itu,” katanya ketika ditemui di kediaman Mohd Nor Hafizi di Kampung Dusun Langgar, Tumpat, hari ini.

Cek Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

Nora berkata, faedah yang diterima oleh Mohd Nod Hafizi akan dijadikan contoh bagi Perkeso untuk terus membuat promosi SKSPS.

Katanya, setakat ini seramai 2,331 individu bekerja sendiri sudah mendaftar sebagai OBS di Kelantan.

“Statistik ini menunjukkan kesedaran OBS di negeri ini masih rendah kerana terdapat 43,000 OBS keseluruhannya, tetapi hanya lima peratus sahaja yang berdaftar,” katanya.

Sementara itu Mohd Nor Hafizi berkata, dia mengetahui mengenai SKSPS itu menerusi adik iparnya.

Katanya, dia berminat untuk mendaftar di bawah skim itu memandangkan pekerjaannya agak berisiko untuk ditimpa kemalangan.

“Saya sudah bekerja sebagai penghantar barang selama lebih setahun, namun dalam tempoh itu belum pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Namun, dalam kemalangan 14 Januari lalu, saya cedera di bahagian lutut kanan dan tidak dapat bekerja selama sebulan.

“Saya bersyukur kerana sempat mendaftar sebagai OBS dalam SKSPS yang membolehkan saya menerima faedah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 2:25 PM