SAMPAH yang ditinggalkan pengunjung. FOTO Ihsan Apli Yusoff.
SAMPAH yang ditinggalkan pengunjung. FOTO Ihsan Apli Yusoff.
Ahmad Rabiul Zulkifli


TINDAKAN tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata menyebabkan sekitar kawasan di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu kotor.

Tinjauan Harian Metro mendapati walaupun tong sampah disediakan, tetapi pengunjung mengambil jalan mudah dengan membuangnya di merata tempat.

Seorang pengunjung, Redzuan Ali, 40, dari Gong Tok Nasek berkata, dia terkilan dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak prihatin dengan perkara itu.

“Sepatutnya pada 2020 pengunjung sudah berdisiplin dan mencontohi negara maju seperti Jepun yang mementingkan kebersihan.

“Memang diakui jumlah tong sampah yang disediakan tidak mencukupi, namun ia bukan alasan untuk kita bersikap sambil lewa dan membuang sampah merata-rata.

“Semua orang perlu ada kesedaran dan tanggungjawab terhadap sampah masing-masing, jika tiada tong sampah simpan di dalam beg plastik kemudian buang di tempat sepatutnya,” katanya.

Katanya, dia malu dengan sikap pengunjung yang langsung tidak berasa bersalah membuang sampah sewenang-wenangnya.

“Kawasan ini menjadi tempat tumpuan, apabila tidak terjaga, ia memberi imej yang buruk kepada negeri seterusnya gagal menarik kedatangan pelancong,” katanya.

Sementara seorang lagi pengunjung, Apli Yusoff, 50, dari Gong Badak berkata, kekurangan tong sampah antara faktor menyebabkan pengunjung meninggalkan sampah di kawasan itu.

“Bukan semua sampah yang dibuang merata, tetapi ada sampah yang dilonggokkan pada satu tempat kerana ketiadaan tong sampah di situ.

“Jika pihak bertanggungjawab meletakkan lebih banyak tong mungkin masalah ini berkurangan,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Suzaimi Mazlan berkata, masalah pembuangan sampah di tempat awam itu bukan disebabkan kekurangan tong sampah tetapi sikap pengunjung sendiri.

“Bukan kawasan ini sahaja bermasalah, tetapi di Dataran Shahbandar dan Taman Rekreasi Awam Batu Buruk juga mengalami masalah sama.

“Berdasar pemerhatian, pengunjung rela meninggalkan sampah di tempat melepak walaupun tong sampah berada kurang satu meter daripada tempat mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya pernah mengeluarkan kompaun serta-merta sebanyak RM50 kepada pengunjung yang membuang sampah merata tempat dan penguatkuasaan itu akan diteruskan.

Dalam pada itu, katanya, MBKT akan menempatkan lapan tong sampah lagi di kawasan itu dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:38 PM