KAWASAN yang jadi tempat longgok sampah dan dibina kubur replika. FOTO Ihsan pembaca.
KAWASAN yang jadi tempat longgok sampah dan dibina kubur replika. FOTO Ihsan pembaca.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUBUR tunggal sepanjang dua meter yang wujud di tepi jalan Kampung Hujung Tanjung, Pasir Panjang, Kuala Terengganu bukan sebarangan kubur.

Sebaliknya, ia dibuat di situ bersebab, semata-mata mahu menyedarkan dan mendidik penduduk kampung supaya tidak membuang sampah di kawasan berkenaan.

Walau sekadar replika dengan batu nisan lelaki, kewujudannya membawa perubahan positif seperti yang ditularkan di Facebook (FB) Ahad lalu.

Penduduk kampung itu, Mohd Sufian Mohd Nor, 43, berkata, dia dan penduduk lain sudah lama bersabar dengan sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab apabila membuang sampah di kawasan itu.

“Memang kawasan itu adalah tempat pembuangan sampah disediakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) namun, ada yang lepas laku apabila tidak membuang sampah di dalam tong yang disertakan.

“Paling mengecewakan apabila tong sampah itu dibakar dan ada pula yang membuang sisa bangunan dan pakaian terpakai di kawasan berkenaan selain sampah domestik.

“Sudah banyak amaran ditampal di situ termasuk memagar kawasan dengan tali tetapi tetap juga ada orang tidak bertanggungjawab membuang sampah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Sufian berkata, disebabkan itu dia dan penduduk prihatin sepakat untuk membina replika kubur dan sejak siap dibina Ahad lalu, tiada lagi sisa sampah ditinggalkan.

Bagaimanapun katanya, tidak menyangka gambar replika itu tular di media sosial hingga ada yang tertanya-tanya mengenai kubur berkenaan.

“Niat kami hanya untuk mendidik penduduk yang degil dan cara itu yang paling efektif, beri kesedaran secara halus kepada mereka,” katanya.

Sementara itu Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah, Ahmad Ridhwan Md Radzi berkata, pembinaan replika kubur untuk tujuan mendidik tidak salah dan tidak juga bertentangan dengan syariat agama.

“Jika itu kaedah yang boleh diguna pakai untuk memberi didikan dan pengajaran, ia perlu dikekalkan apatah lagi masyarakat juga tahu kewujudannya hanya untuk mendidik.

“Bagaimanapun, sekiranya kewujudan replika kubur itu tidak memberi keinsafan kepada orang ramai adalah lebih baik ia dibuang bagi mengelak fitnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:23 PM