AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN negeri kesal dengan sikap segelintir pengunjung di pantai Port Dickson (PD) yang tidak mengamalkan aspek kebersihan apabila membuang sampah di serata tempat di pantai berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai masalah dipercayai dilakukan pengunjung pada dua hari cuti hujung minggu berakhir semalam.

Katanya, ketiadaan tong sampah di kawasan terbabit bukanlah alasan untuk pengunjung membuang sampah sewenang-wenangnya.

"Saya mendapat laporan terdapat segelintir pengunjung mengambil mudah soal kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah merata-rata.

"Kekurangan tong sampah bukan alasan. Selaku pencinta alam sekitar, pengunjung haruslah menghargainya dengan membuang sampah di tempat sepatutnya,"

katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) rasminya di Seremban, hari ini.

Aminuddin berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dan lebih bersikap prihatin dengan sama-sama menjaga alam sekitar.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sentiasa bekerja keras memastikan pantai berkenaan bersih dan selesa untuk dikunjungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 4:33 PM