REMAJA berkenaan. FOTO Ihsan Polis
REMAJA berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN dua remaja melakukan aksi berbahaya dengan berlumba dan mengangkat tayar hadapan motosikal mereka mengundang padah apabila seorang daripadanya dicekup polis, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, dua remaja itu yang menunggang motosikal masing-masing tidak menyangka aksi mereka diperhatikan polis, malah mereka melakukan tiga kali pusingan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, di Alor Setar.

Bagaimanapun, seorang daripadanya berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, anggotanya dari Task Force Skuad 42 BSPT Kota Setar menjalankan Ops Samseng Jalanan di kawasan itu, semalam.

Beliau berkata, hasil rondaan hampir dua jam, anggotanya ternampak dua lelaki berlumba motosikal.

“Mereka menunggang secara melulu dan berbahaya dengan mengangkat tayar motosikal hadapan (wheelie) sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya.

Chuah berkata, anggotanya kemudian menahan remaja lelaki berusia 16 tahun itu bersama motosikalnya, manakala rakannya berjaya melarikan diri.

Beliau berkata, remaja terbabit yang masih belajar di tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kuala Kedah itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 malah motosikalnya turut disita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 9:18 AM