LELAKI berusia 21 tahun ditahan polis kerana menunggang secara berbahaya. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI berusia 21 tahun ditahan polis kerana menunggang secara berbahaya. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


PENUNGGANG motosikal yang sedang asyik melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan motosikalnya tidak menyangka termasuk jerat apabila perbuatannya itu berjaya dihidu polis.

Lelaki berusia 21 tahun yang menetap di Pondok Bukit Lada, Jalan Kubur Panjang itu ditahan malam tadi selepas sepasukan anggota polis dari Task Force 42 Jabatan Siasatan Perundangan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan mengekorinya dari belakang.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, sepasukan anggotanya yang membuat pemantauan di kawasan berkenaan 6.15 petang, ternampak sekumpulan motosikal pelbagai jenis di lampu Isyarat Sungai Kering, dekat Yan.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang menunggang motosikal Honda EX-5 seorang diri meneruskan perjalanan ke Jalan Bukit Besar dengan melakukan aksi berbahaya (wheelie) yang mengundang bahaya terhadap pengguna jalan raya lain serta dirinya sendiri.

“Anggota kami membuat pengecaman terhadap penunggang motosikal itu dan mengekorinya dari lampu Isyarat Simpang Empat Sungai Kering hingga ke Jalan Batu Hampar, Pendang.

“Sepanjang perjalanan, penunggang motosikal itu masih melakukan aksi sama sehingga jam 10 malam ketika berhenti di sebuah kedai makan di Jalan Batu Hampar, Pendang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahnaz Akhtar berkata, anggotanya kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa dan menahan penunggang terbabit sambil memberitahu kesalahan yang dilakukannya mengikut Peruntukan di bawah Seksyen 28 A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Beliau berkata, penunggang motosikal itu dibawa ke Balai Polis Trafik Pendang untuk dokumentasi bersama motosikal terbabit sebelum dibawa ke IPD Yan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 2:06 PM