LELAKI yang ditahan polis ketika menunggang motosikal di lampu isyarat Petronas Fertilizer sebelum dibawa ke sekatan Plaza Tol Gurun kerana ingkar PKP dan penemuan dadah serta dikehendaki polis kerana berkaitan dadah. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI yang ditahan polis ketika menunggang motosikal di lampu isyarat Petronas Fertilizer sebelum dibawa ke sekatan Plaza Tol Gurun kerana ingkar PKP dan penemuan dadah serta dikehendaki polis kerana berkaitan dadah. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN mencurigakan seorang lelaki dan wanita yang menunggang motosikal di sekatan susur Plaza Tol Gurun, Alor Setar, sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam membawa penemuan 3.24 gram dadah disyaki heroin dan syabu.

Dalam kejadian pada 6.15 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang diketuai Inspektor Isalihin Bohyamin ternampak sebuah motosikal Kawasaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, pegawai dan anggotanya kemudian mengejar motosikal itu sehingga ke lampu isyarat Petronas Fertilizer Jeniang, dekat Alor Setar dan mengarahkan penunggangnya berhenti.

Beliau berkata, suspek berusia 31 tahun yang menunggang bersama seorang wanita berusia 20 tahun akur dan berhenti sebelum diarahkan menunggang motosikal ke sekatan pemeriksaan di Plaza Tol Gurun sejauh kira-kira 500 meter untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka kemudian diarahkan menunjukkan dokumen pengenalan diri untuk tujuan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kecil coklat di poket belakang seluar kiri suspek lelaki itu yang didalamnya terdapat dua paket plastik dan dua keratan straw berisi serbuk serta ketulan dadah disyaki heroin anggaran berat 2.5 gram dan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 0.74 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chuah berkata, turut ditemui satu paket plastik yang di dalamnya mengandungi paket plastik kosong.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap wanita yang membonceng motosikal itu tidak menemui barang salah.

“Berikutan itu, kedua-duanya ditahan bersama dadah berkenaan dan dibawa Balai Polis Gurun untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil semakan rekod mendapati suspek lelaki yang berasal dari Alor Setar dan bekerja sebagai pesawah itu mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan kes dadah di Alor Setar, manakala wanita itu berasal dari Pendang dan tidak bekerja,” katanya.

Chuah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal Kawasaki KR150-K yang ditunggangi mereka untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua mereka turut ditahan kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana tiada alasan yang sah dan munasabah yang mungkin akan merebakkan sebarang penyakit merbahaya kerana berada di luar rumah ketika PKP dikuatkuasakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 2:12 PM