Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap individu termasuk remaja bawah umur dan dikompaun kerana berkumpul di lampu isyarat Jalan Batas Paip.FOTO Ihsan PDRM
Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap individu termasuk remaja bawah umur dan dikompaun kerana berkumpul di lampu isyarat Jalan Batas Paip.FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Gara-gara berkumpul menyaksikan lumba haram di malam raya di Jalan Batas Paip, Kuala Kedah di sini, 19 individu termasuk remaja bawah umur dikompaun RM1,000 seorang kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Op Samseng Jalanan Hari Raya Aidiladha bermula jam 9 malam itu lakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Ketua JSPT Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, pada jam 3 pagi, anggotanya membuat penutupan jalan di Jalan Batas Paip dan berjaya menahan 15 motosikal bersama 19 penunggang dan pembonceng.

"Sepanjang operasi ini dilakukan, sebanyak 59 saman dikeluarkan membabitkan 61 pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dan dua buah motosikal disita.

"Semua 19 Individu terbabit dikompaun kerana berkumpul tanpa sebab yang munasabah mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chuah berkata, semua yang dikompaun itu berusia antara 13 hingga 21 tahun dan kebanyakan mereka terdiri dari pelajar sekolah.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 2 (1) Akta PPDPPB 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

"Selain itu, Peraturan 16(1) PPDPPB (No.2) 2021 Akta 342 kerana gagal mengemukakan dokumen pergerakan dan Peraturan 17 PPDPPB 1988 kerana tiada permit yang sah merentas daerah.

"Kompaun turut dikeluarkan mengikut 17(1) PPDPP (No.2) 2021 Akta 342 berkumpul tanpa alasan munasabah," katanya semua bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 2:06 PM