BUKU agama yang dibakar. FOTO ihsan Pengerusi Surau Al-Hidayah
BUKU agama yang dibakar. FOTO ihsan Pengerusi Surau Al-Hidayah
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS mempercayai suspek yang memecah masuk Surau Al-Hidayah, Taman Universiti, Skudai membakar buku agama hanya kerana berang tidak dapat mencuri duit tabung surau itu yang disimpan dalam peti besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai, bagaimanapun berkata, pihaknya masih giat mengesan suspek untuk menahannya.

"Kita mendapat maklumat bahawa ada beberapa helaian al-Quran yang dibakar berhampiran laluan ke bilik air surau.

"Hasil siasatan awal kita mendapati naskhah yang dibakar itu adalah buku agama dan bukan al-Quran. Ia berikutan pemeriksaan di laluan bilik air surau yang berada di luar surau itu terdapat cebisan kertas yang masih tidak terbakar dan mengandungi perkataan rumi disyaki buku agama atau tafsir al-Quran.

"Pengadu juga ada mengatakan pada mulanya menyangka al-Quran yang terbakar tetapi sebenarnya mungkin hanya buku agama.

"Kita percaya suspek membakar buku agama itu kerana berang tidak dapat mencuri duit tabung masjid yang disimpan dalam peti besi," katanya.

Beliau berkata, kipas dilaporkan hilang dengan anggaran kerugian RM50.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan di surau berkenaan mendapati tiada sebarang kesan umpil pada mana-mana bahagian masuk ke dalam surau, namun pemeriksaan pada tabung surau mendapati terdapat kesan umpil serta ada kerosakan pada rak dan peralatan dalam stor surau akibat diselongkar.

"Pemeriksaan dalam surau mendapati al-Quran, Yassin dan buku agama berselerak atas lantai berhampiran dengan rak dan pemeriksaan dalam bilik stor medapati al-Quran, lampu dan sejadah berselerakan.

"Pemantauan yang dijalankan mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tempat kejadian atau kawasan sekitar, malah tiada saksi bebas yang nampak kejadian itu," katanya.

Menurut Beh, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Berita berkaitan:

Biadap!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 3:25 PM