Kuala Lumpur: Kadar kegiatan jenayah akan dilihat semakin berkurangan sekiranya semua pihak berganding bahu mencari punca sebenar dan menanganinya dengan pendekatan terbaik berbanding hanya mementingkan usaha memerangi saja.

Itu pendapat diberikan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye yang mengalu-alukan cadangan inisiatif baru di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah.

“Tugas paling penting adalah untuk menangani isu persepsi negatif orang ramai dan juga mengukuhkan keyakinan masyarakat kepada pihak polis dengan mencari punca sebenar mengapa kegiatan jenayah ini berlaku.

“MCPF berpendapat penagihan dadah adalah satu punca utama berlakunya jenayah ragut dan pecah rumah. Begitu juga dengan keruntuhan moral yang menjadi penyebab utama kepada semua masalah gejala sosial yang menjejaskan generasi muda ditambah pula dengan kekurangan kemahiran bimbingan dan keibubapaan.

“Saya percaya bahan lucah yang mudah diperoleh daripada laman web lucah dan lambakan video cakera padat (VCD) cetak rompak di samping penjualan pil ecstasy dan pil perangsang lain mudah diperoleh penyumbang kepada kerosakan minda anak muda,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:00 AM