MAYAT pemancing ditemui di Sungai Muar. FOTO Ihsan Bomba.
MAYAT pemancing ditemui di Sungai Muar. FOTO Ihsan Bomba.
Abnor Hamizam Abd Manap


LELAKI yang memancing ikan di Sungai Muar berhampiran pekan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, mangsa, Palanisamy, 48 ke sungai berkenaan untuk memancing 3 petang semalam.

Katanya, ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Rompin 9 malam tadi selepas mangsa tidak pulang ke rumah.

“Pihak bomba yang dimaklumkan pihak polis bergegas ke lokasi kejadian 10.35 malam. Kami memulakan operasi mencari mangsa di sekitar lokasi dia memancing.

“Operasi dilakukan sehingga jarak 300 meter sepanjang sungai sebelum kami menemui sebatang pancing diperbuat daripada pelepah sawit.

“Operasi kemudian ditangguhkan 1 pagi sebelum disambung semula 8 pagi tadi,” katanya.

Muhamad Rasul berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan 3.15 petang, kira-kira 50 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

“Seramai 24 pegawai serta anggota dari BBP Bahau, Seri Jempol dan Telok Kemang terbabit dalam operasi menyelamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 5:51 PM