MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI
BERNAMA

PENEROKA Felda diajak untuk menjayakan matlamat dasar pertanian baharu yang dirangka kerajaan bagi menjamin pendapatan lebih baik kepada golongan terbabit.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar baharu berkenaan yang menggabungkan tanah pekebun kecil yang kurang mendatangkan hasil yang baik untuk menjadi sebuah estet lebih besar dengan diurus secara professional dan menggunakan teknologi terkini, bertujuan mengurangkan kebergantungan peneroka Felda kepada hasil komoditi.

Katanya, inisiatif dasar sudah dimulakan di Felda Bukit Rokan, Negeri Sembilan di kawasan seluas 31 hektar tanah rancangan yang dimajukan dengan industri penanaman cendawan dan penternakan arnab.

“Ini (projek) sudah pasti dapat membantu warga Felda. Kalau kita bergantung kepada komoditi getah dan kelapa sawit, tidak dapat kerana harganya ‘non sustainable’.

“Jadi, kita tidak boleh berterusan dengan cara yang lama, sebab itu kita mencadangkan supaya peneroka dan warga Felda terbabit dengan model baharu perniagaan yang diterajui oleh Felda, supaya apabila harga komoditi ini jatuh sekalipun, mereka masih ada hasil tambahan daripada tanaman kontan seperti cili, sayuran, buah-buahan untuk menjamin pulangan (pendapatan) bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) Sungai Sibol di Dewan Serbaguna Felda Sungai Sibol, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin.

Berkenaan penyerahan kunci rumah terbabit, Mohamed Azmin berkata ia membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Felda, di dalam melaksanakan projek perumahan generasi baru Felda yang terbengkalai.

Katanya, terdapat hampir 5,000 unit rumah yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun.

“Rumah yang terbengkalai ini ada yang terbengkalai lebih enam tahun, sebagai contoh di Sungai Sibol dan ada sesetengah tempat, terbengkalai lebih 10 tahun dan sudah tentu ini telah memberi kesan sosioekonomi kepada masyarakat, kerana generasi muda tidak mempunyai pilihan melainkan berhijrah ke kawasan bandar dan meninggalkan kampung halaman mereka untuk mencari pekerjaan.

“Jadi menerusi pengumuman Kertas Putih Felda pada tahun lalu, sebanyak RM250 juta disediakan kerajaan bagi menyiapkan rumah tersebut termasuk RM3.4 juta bagi 360 unit rumah di Sungai Sibol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 9:32 PM