BERNAMA

PENEROKA Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) digesa bersama-sama menjayakan misi mengembalikan kegemilangan agensi itu dengan melaksanakan program mengikut fungsi asalnya seperti ketika ditubuhkan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Radzi Jidin berkata, kerajaan sudah merangka pelan pemulihan untuk mencapai matlamat itu dengan memperuntukkan RM6.23 bilion bagi menjamin kebajikan peneroka dan menjadikan FELDA sebagai institusi hebat.

“Antara isu utama, model yang ada sekarang ini iaitu apabila ladang itu diusahakan dalam skala kecil, tidak ada satu skala ekonomi untuk membolehkan semua peneroka mendapat manfaat.

“Jadi kita perlu tukar model perniagaan kita dengan melaksanakan kegiatan ekonomi berskala besar melalui kos yang lebih rendah tetapi dengan pulangan lebih tinggi,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel malam tadi.

Bagaimanapun, Radzi berkata, ia bukanlah usaha mudah kerana ketika kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14, FELDA berada dalam keadaan kritikal.

Menurutnya, FELDA mempunyai simpanan tunai RM35 juta saja daripada berbilion ringgit yang pernah dimilikinya dan jumlah itu belum termasuk liabiliti iaitu hutang yang perlu dibayar.

Menurutnya, dari Mei 2018 sehingga pembentangan kertas putih minggu lalu, kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada FELDA RM577 juta namun liabiliti yang perlu ditanggung dan bayaran yang perlu dibuat oleh FELDA adalah tinggi.

Sementara itu, mengenai peranan generasi baru FELDA, Radzi berkata, mereka perlu memainkan peranan penting dalam memartabatkan agensi itu dan menjadikan kawasan FELDA sebagai satu pusat ekonomi.

Justeru katanya, kerajaan memutuskan untuk menyiapkan projek rumah bagi generasi baharu yang terbengkalai sejak 2016 dengan memperuntukkan RM250 juta bagi menyelesaikan 30 peratus lagi pembinaannya.

“FELDA akan buat dalam masa terdekat, akan siapkan sasarannya dalam tahun ini supaya kira-kira 5,000 generasi baru mendapat manfaat hasil dan dapat masuk ke unit rumah secepat mungkin,” katanya.

Pada 10 April lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)” di Dewan Rakyat yang menjelaskan mengenai isu dihadapi FELDA serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan peneroka terus dibela oleh kerajaan.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan akan heret pendurjana FELDA ke mahkamah
  • RM2.7 bilion wang FELDA diguna untuk kempen PRU lalu
  • Hutang FELDA 1,100 peratus
  • FELDA dapat bantuan RM6.23 bilion
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 5:43 PM