PELAJAR Orang Asli Kampung Bukit Payong, Alor Gajah kembali ke sekolah hasil usaha JAPERUN Taboh Naning. FOTO Hassan Omar.
PELAJAR Orang Asli Kampung Bukit Payong, Alor Gajah kembali ke sekolah hasil usaha JAPERUN Taboh Naning. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


TIADA yang lebih menggembirakan lapan anak Orang Asli dari Kampung Bukit Payong, Alor Gajah, apabila berpeluang kembali ke sekolah selepas meninggalkan sekolah antara satu hingga tiga tahun, sebelum ini.

Tujuh daripada mereka menyambung semula persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah (SMKSMS) Pulau Sebang pada hari pertama persekolahan Khamis lalu manakala seorang lagi di Sekolah Kebangsaan Cherana Putih, Alor Gajah.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Zairi Suboh berkata, tiga daripada mereka berusia 16 tahun berjaya dipujuk untuk menyambung semula persekolahan dalam tingkatan empat.

“Mereka berhenti sekolah dalam tingkatan satu kerana pelbagai faktor seperti masalah kewangan, pengangkutan dan seumpamanya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Taboh Naning, Norhadi Otoh dan Pegawai Kebajikan JAPERUN berkenaan, Mohd Taufik Abdul Rahman yang bertungkus-lumus membawa mereka kembali menyarung pakaian seragam sekolah.

Beliau berkata, tiga lagi anak Orang Asli terbabit yang berusia 15 tahun memulakan sesi persekolahan tingkatan tiga selepas berhenti sekolah dalam tingkatan satu.

Katanya, selain itu, seorang pelajar melangkah ke tingkatan satu selepas menamatkan persekolahan ketika tahun enam dan seorang lagi menyambung semula pembelajaran dalam tahun dua selepas berhenti sekolah dalam tahun satu.

“usaha memujuk pelajar terbabit kembali ke sekolah tidak mungkin mampu direalisasikan tanpa bantuan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Bukit Payong, Tok Batin Nur Isjimei yang berusaha gigih memujuk ibu bapa pelajar terbabit supaya membenarkan anak masing-masing kembali ke sekolah.

“Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Daerah Alor Gajah turut membantu usaha membawa pelajar terbabit kembali ke sekolah berikutan kesediaan jabatan itu menyediakan yuran, wang saku dan kos pengangkutan mereka.

“Kami berterima kasih kepada Pengetua SMKSMS, Norisah Masdar yang banyak membantu usaha itu hingga membolehkan pelajar terbabit kembali menimba ilmu untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:09 PM