ADI Hanafi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Saufuan sambil disaksikan Ketua Biro NSTP Melaka, Badrul Hizar Ab Jabar (tengah) pada Program #HMKotakRezeki2018 di Taman  Melaka Raya, Banda Hilir.
ADI Hanafi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Saufuan sambil disaksikan Ketua Biro NSTP Melaka, Badrul Hizar Ab Jabar (tengah) pada Program #HMKotakRezeki2018 di Taman Melaka Raya, Banda Hilir.
Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Alhamdulillah rezeki anak tahfiz sentiasa ada dan sumbangan ini boleh dibelanjakan untuk keperluan mereka,” kata penyelia Sekolah Menengah Tahfiz Pulau Besar, Ahmad Saufuan Mohamed Nasir, selepas menerima sumbangan wang tunai #HMKotakRezeki2018 semalam.

Menurut Ahmad Saufuan, 35, ini tahun kedua sekolahnya menerima sumbangan daripada Harian Metro yang ditaja Affin Bank.

“Nilai sumbangan bukan ukuran buat kami. Apabila dimaklumkan sekolah ini masih terpilih kami bersyukur dan dibelanjakan untuk kebajikan pelajar.

“Selain beli keperluan, sumbangan ini untuk bayaran tunggakan bot yang digunakan bagi mengangkut keperluan air bersih buat pelajar,” katanya.

Ahmad Saufuan ditemui ketika menerima sumbangan #HMKotakRezeki2018 yang disampaikan Pengurus Cawangan Affin Bank Melaka Raya, Adi Hanafi Abdul Hadi di Pejabat New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Melaka Raya, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi Penyelia Madrasah Abd Ghani, Arrifin Adam, sumbangan diterima itu besar nilainya kerana dapat meringankan perbelanjaan pihaknya dalam membaik pulih kemudahan madrasah.

“Dengan sumbangan ini kami membina pagar bagi keselamatan dan keselesaan pelajar yang menempatkan 23 penghuni.

“Tahun lalu, kami membina pagar di belakang, tahun ini di depan dan jika ada rezeki, tahun hadapan kami rancang membina rumah bagi penginapan tenaga pengajar,” katanya.

Terdahulu, turut menerima sumbangan itu, empat lagi penerima iaitu Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Pernu, Madrasah Baitil Hamdi Kampung Kemus, Simpang Ampat, Alor Gajah, Madrasah al-Qubra, Taboh Naning, Alor Gajah dan Pusat Tahfizul Quran al-Qamar, Kampung Air Hitam, Masjid Tanah.

Masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM3,500 ditaja Affin Bank sempena #HMKotakRezeki2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:13 AM