PASUKAN bola baling SK Lendu ceria muncul juara bagi kategori bawah 12 lelaki dan wanita. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PASUKAN bola baling SK Lendu ceria muncul juara bagi kategori bawah 12 lelaki dan wanita. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Sekolah Kebangsaan Lendu muncul juara Kejohanan Bola Baling kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun Kawasan Alor Gajah baru-baru ini.

Guru besar sekolah berkenaan Bahrin Pakiri berkata, kejayaan kali ini amat membanggakan kerana kedua-dua pasukan muncul juara dalam tahun yang sama buat pertama kali dalam sejarah sekolah terbabit.

Kataya, kejohanan yang berlangsung di SK Dato Naning itu jelas pemangkin dalam menyemarakkan minat yang tinggi dalam sukan itu buat lebih 400 pelajar sekolah berkenaan yang diterap seawal dari tahun satu.

Katanya, pada 2019 pasukan lelaki sekadar naib juara dan perempuan juara, namun selepas beberapa tahun tidak diadakan susulan pandemik Covid-19, kejayaan yang direkodkan kali ini amat bermakna.

"Pada aksi final pasukan lelaki berjaya menewaskan SK Parit Melana dan skuad perempuan mengatasi SK Lesong Batu dalam perlawanan sengit.

"Susulan kejayaan berkenaan lima pemain lelaki dan enam perempuan terpilih mewakili kawasan Alor Gajah pada peringkat negeri," katanya.

Menurutnya, komitmen tinggi pemain, barisan jurulatih pasukan lelaki diketuai Muhammad Safrinizam Ismail dan Amiza Ibrahim (skuad wanita), ibu bapa dan warga sekolah meletakkan sekolah berkenaan cemerlang dalam sukan terbabit.

Sementara itu, Amiza berkata sekolah terbabit sering cemerlang dalam sukan bola baling malah beberapa pemainnya turut mewakili Melaka pada saingan peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, budaya menanam minat dalam kalangan pelajar menjadi trend buat sekolah berkenaan dalam usaha melahirkan pemain terbaik secara konsisten di peringkat negeri dan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 3:43 PM