ANGGOTA penguat kuasa MPK menunjukkan saman yang dikeluarkan ke atas premis gagal menggunakan papan tanda jawi. FOTO Zulkepli Osman.
ANGGOTA penguat kuasa MPK menunjukkan saman yang dikeluarkan ke atas premis gagal menggunakan papan tanda jawi. FOTO Zulkepli Osman.
Asrol Awang


SERAMAI 25 pemilik premis perniagaan, masing-masing dikompaun RM250 kerana gagal memasang papan tanda tulisan Jawi seperti ditetapkan bermula 1 Januari lalu.

Kompaun keseluruhan berjumlah RM6,250 itu hasil daripada operasi lesen dan Jawi oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sekitar bandar Kuantan termasuk kawasan perindustrian Padang Lalang dan Batu 3.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, pihaknya sudah memberi tempoh setahun untuk pemilik premis memasang papan tanda bertulisan Jawi.

Namun katanya, ada peniaga yang dikompaun memberi alasan tempoh diberikan terlalu singkat untuk mereka menukar papan tanda.

“Tempoh itu cukup untuk mereka berbuat demikian dan kita tidak mahu mendengar alasan lagi.

“Oleh itu, kompaun ini diharap memberi kesedaran supaya peniaga mematuhi arahan,” katanya pada sidang media di kawasan Industri Batu 3, Kuantan, hari ini.

Operasi selama empat hari bermula Sabtu lalu sudah memeriksa 313 premis perniagaan.

Katanya, peniaga dikenakan kompaun diberi tempoh tiga bulan untuk menukar papan tanda dengan tulisan Jawi.

“Jika gagal, lesen perniagaan juga boleh dibatalkan. Kita minta kerjasama mereka untuk patuh arahan dan tiada lagi kompromi bagi peniaga ingkar,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 3:26 PM