SAHMUDIN menunjukkan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaannya di Air Putih. FOTO Asrol Awang.
SAHMUDIN menunjukkan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaannya di Air Putih. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


KEBANYAKAN premis perniagaan di Kuantan sudah memasang papan tanda bertulisan jawi, seperti arahan yang berkuat kuasa bermula hari ini.

Ada dalam kalangan pemilik premis yang memasang papan tanda itu lebih awal sebagai menyokong memartabatkan tulisan jawi.

Pemilik kedai dobi di Air Putih, Sahmudin Kadir, 52, berkata, dia memasang papan tanda jawi sebaik mengetahui mengenai arahan itu, tahun lalu.

“Dalam hal ini, saya tiada masalah berbuat demikian kerana hanya perlu menampal tulisan jawi dan bukannya membuat papan tanda perniagaan baharu.

“Saya percaya semua pemilik premis perniagaan akan mematuhi arahan ini demi memartabatkan tulisan jawi,” katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, Hamzah Hussin, 55 dari Balok, menyahut arahan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda, malah sudah memasangnya sejak tujuh bulan lalu.

“Saya sudah memasang papan tanda tulisan jawi pada Julai lalu walaupun penguatkuasaannya bermula 1 Januari 2020,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini menegaskan tiada lagi kompromi terhadap pemilik premis perniagaan di Pahang yang gagal memasang papan tanda bertulisan Jawi bermula 1 Januari.

Pemilik premis yang didapati gagal mematuhi arahan itu boleh dikompaun RM250 atas kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua pula, lesen perniagaan dibatalkan.

Penggunaan tulisan jawi itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu tulisan berkenaan diperkasakan di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:23 PM