TINJAUAN papan tanda di jalan menghala  Batu Berendam turut mendapati terdapat kesalahan tulisan jawi pada papan tanda ‘Jalan Bachang’ yang ditulis ‘Jalan Bajang’.
TINJAUAN papan tanda di jalan menghala Batu Berendam turut mendapati terdapat kesalahan tulisan jawi pada papan tanda ‘Jalan Bachang’ yang ditulis ‘Jalan Bajang’.
Noor Azurin Mohd Sharif

Melaka: Kesilapan tulisan jawi pada papan tanda jalan di Jalan Bachang di sini, boleh mengundang kekeliruan pelbagai pihak, apatah lagi kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Tinjauan di beberapa kawasan di sekitarnya, mendapati dua papan tanda ‘Jalan Bachang’, tetapi tulisan jawinya ditulis ‘Jalan Bajang’ yang mana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Justeru, tidak mustahil ada banyak lagi papan tanda tulisan jawi yang berlaku kesalahan, namun ia seolah-olah tidak diambil peduli pihak bertanggungjawab.

Penduduk Kampung Pengkalan Batu di sini, Siti Zawiyah Jantan, 33, berkata, dia juga tidak perasan kesilapan ejaan pada tulisan jawi itu.

“Sehingga wartawan bertanyakan, baru saya perasan terdapat kesalahan (tulisan jawi) itu. Sejujurnya saya hanya melihat ruminya tanpa membaca jawi.

“Tapi sepatutnya perkara itu tidak berlaku kerana pihak berkuasa tempatan perlu lebih prihatin untuk memartabatkan tulisan jawi.

“Jika orang luar datang ke sini, ia boleh mengelirukan dan secara tak langsung memalukan nama Melaka,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Muhammad Jailani Khamis, ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan negeri terdahulu sepatutnya meneliti dan prihatin berkenaan hal berkenaan sebelum melaksanakannya tanpa diambil mudah.

“Tulisan jawi sepatutnya dimartabatkan dengan cara yang betul dan semua pihak perlu bekerjasama untuk menaikkan imejnya semula.

“Bagi saya wajar tulisan jawi itu dibuat di papan tanda kerana ia adalah warisan yang perlu dikekalkan, selain warisan dan budaya menentukan bangsa.

“Biarpun pada dasarnya ia tidak menjejaskan pelancongan, warisan itu perlu dijaga dan kesalahan ejaan ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Azahar Mohamed berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dan semakan segera perkara berkenaan.

“Jika benar (kesalahan tulisan jawi), pihak MBMB akan membuat pembetulan dalam masa terdekat.

“Terima kasih atas aduan dan keprihatinan semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:21 AM