PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Abdullah Yusof
PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Abdullah Yusof
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 1,996 kes membabitkan rampasan berjumlah RM290.4 juta direkodkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), tahun lalu.

Pengarahnya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah kes itu meningkat sebanyak 426 kes daripada 1,570 kes pada 2018.

“Nilai rampasan kes pula merekodkan peningkatan sebanyak RM123 juta atau lebih 200 peratus daripada RM95.6 juta pada 2018 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bagi tangkapan penyeludupan dadah, arak dan rokok, sebanyak 1,331 kes direkodkan dengan nilai rampasan RM262.4 juta manakala bagi kes migran pula, seramai 2,800 individu daripada pelbagai warganegara ditahan selain beberapa bot kenderaan bernilai RM4.9 juta dirampas,” katanya pada sidang media Ketua Polis Negara bersama 10 Pengarah Jabatan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Acryl berkata, sebanyak 115 tangkapan dilakukan pihaknya membabitkan RM23.2 juta rampasan dalam Operasi Bersepadu Khazanah Negara yang dilancarkan sejak September tahun lalu.

“Pada tahun ini, kami memberi tumpuan untuk melipatgandakan usaha kejayaan termasuk meletakkan sasaran rampasan berjumlah RM500 juta.

“Justeru, kami akan melakukan operasi secara konsisten dalam usaha memastikan ketenteraman awam terjamin dan sempadan negara terkawal daripada sebarang aktiviti pencerobohan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 8:17 PM