ACRYL Sani pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman. FOTO ihsan PDRM
ACRYL Sani pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kadar Jenayah Indeks yang mencatatkan penurunan dengan merekodkan 50,819 kes tahun lalu berbanding tahun sebelumnya sebanyak 52,974 kes menunjukkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan situasi keselamatan negara pada tahap yang baik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini menunjukkan penurunan sebanyak 2,155 kes atau 4.1 peratus.

Menurutnya, begitu juga dengan usaha giat pembanterasan dan pencegahan najis dadah yang menunjukkan peningkatan bilangan kes dan tangkapan, yang mana 141,346 kes dan 163,740 tangkapan direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2022 bagi pelbagai jenis kesalahan narkotik, berbanding 108,273 kes dan 129,654 tangkapan bagi tempoh yang sama pada 2021.

"Manakala tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) juga merekodkan peningkatan pada 2022 sebanyak 1,261 orang berbanding 1,186 orang pada 2021.

"Ini jelas membuktikan PDRM terus komited memerangi musuh nombor satu negara ini.

"Suka juga untuk saya kongsikan bahawa, statistik kes jenayah komersil menunjukkan penurunan bagi Januari hingga Disember 2022 dengan mencatatkan 30,536 kes berbanding tempoh kajian yang sama bagi 2021 iaitu 31,490 kes," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, manakala bagi kes-kes yang berkaitan penyeludupan, migran dan khazanah negara pula menunjukkan peningkatan bilangan kes, tangkapan dan nilai rampasan yang direkodkan iaitu 2,866 kes dengan 5,945 tangkapan dan RM495.6 juta nilai rampasan bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 berbanding 2,811 kes dengan 4,840 tangkapan dan RM445.9 juta nilai rampasan bagi tempoh yang sama 2021.

"Tahniah diucapkan kepada seluruh warga PDRM yang berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dan kekal komited dengan peranan dan tanggungjawabnya selari dengan kehendak Akta Polis 1967.

"Saya amat berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan demi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan PDRM dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 12:31 PM