ORANG Di Selia (ODS) Siva (bukan nama sebenar) dikenakan hukuman 14 tahun penjara dan lima sebatan kerana kesalahan samun bersenjata dan membunuh, kini berada di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10. FOTO Mohd Rafi Mamat
ORANG Di Selia (ODS) Siva (bukan nama sebenar) dikenakan hukuman 14 tahun penjara dan lima sebatan kerana kesalahan samun bersenjata dan membunuh, kini berada di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


“SELEPAS berjaya memecah masuk kedai runcit berkenaan, saya bertindak mengikat tangan pemilik premis itu yang juga wanita warga emas.

“Selepas kira-kira 15 minit mengikatnya dalam stor, saya dapati wanita berkenaan pengsan mungkin disebabkan serangan jantung kerana terlalu terkejut.

“Saya hanya mengetahui wanita berkenaan mati selepas saya ditangkap polis kemudian disabitkan kesalahan samun bersenjata dan membunuh, hukuman 14 tahun penjara dan lima sebatan dikenakan,” kata Siva, 41 bukan nama sebenar.

Dia yang kini menjalani hukuman penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, Kuantan, berkata, dia sebenarnya tidak berniat untuk membunuh wanita berkenaan tetapi mungkin disebabkan terlalu terkejut, wanita itu pengsan dan mati secara mengejut.

Katanya, kejadian yang berlaku di Bentong lapan tahun lalu itu begitu memberi kesan mendalam pada dirinya sehingga dia menyesal.

Menurutnya, hasil rompakan hanya sebanyak RM5,000, namun satu nyawa tidak bersalah ‘melayang’ begitu sahaja.

Menurut bapa empat cahaya mata itu, dia bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman gantung kerana membunuh, sebaliknya hanya dikenakan hukuman penjara dan sebat.

“Saya menasihatkan golongan muda supaya tidak terlalu mengikut hati hingga sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, banyak peluang pekerjaan boleh dilakukan dengan pendapatan lumayan.

“Ingatlah, pasti kita tidak akan selamat selepas melakukan kesalahan, sebagai contoh hanya selepas empat hari merompak saya ditangkap polis,” katanya ditemui pada program khidmat masyarakat di PRP) Kem Batu 10, kelmarin.

Siva yang berasal dari Bera berkata, dia kini insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu, selama 14 tahun berada dalam penjara banyak mengajar dia erti kehidupan sebenar sebagai manusia yang tidak menimbulkan masalah pada negara.

“Saya tidak sabar untuk bebas awal tahun depan selepas terlalu lama bergelar banduan, saya ingin bina kehidupan baru yang lebih bererti bersama keluarga yang banyak berkorban dan menanggung malu selama ini.

“Kemahiran membaiki kenderaan dan berkebun yang ada akan digunakan untuk meneruskan hidup di luar sana,” katanya yang tidak sanggup mengingati saat menjalani hukuman sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 8:46 AM