GRACAS berazam untuk membunuh lagi selepas dibebaskan dari penjara.
GRACAS berazam untuk membunuh lagi selepas dibebaskan dari penjara.
AFP

Rio de Janeiro: Seorang lelaki Brazil yang dituduh menikam mati seorang wanita, semalam mengaku turut melakukan pembunuhan ke atas 40 orang lain hanya untuk mendapatkan keseronokan.

Polis semalam berkata, Sailson Jose das Gracas, 26, mengaku membunuh 37 wanita, tiga lelaki dan seorang budak berusia dua tahun sepanjang tempoh sembilan tahun.

Malah, budak itu dibunuh hanya kerana suspek bimbang tangisan mangsa akan menarik perhatian orang lain dan menyebabkan dia tertangkap.

Sebelum membunuh, Gracas berkata, dia menghabiskan masa antara seminggu hingga sebulan untuk mengkaji bakal mangsanya.

“Bergantung kepada keadaan. Saya menjejak tempat tinggal mereka, bagaimana keluarga, keadaan rumah dan selepas berpuas hati, saya akan ke situ pada awal pagi menanti masa sesuai untuk membunuh,” katanya.

Digelar gila oleh polis, Gracas berkata, jenayah awalnya adalah sebagai pencuri.

Dia mula membunuh ketika berusia 17 tahun dan mangsanya ialah seorang wanita.

“Sejak itu saya mula mencari mangsa lain dan saya benar-benar menikmati melakukan pembunuhan,” katanya.

Gracas berkata, dia juga pernah membunuh kerana diupah sepasang suami isteri.

Pasangan itu kini ditangkap untuk disiasat.

Biasanya, kata Gracas, dia mencekik mangsa kecuali ketika melaksanakan arahan pasangan suami isteri terbabit.

Dalam insiden itu, Gracas berkata, dia menggunakan pistol.

“Selepas membunuh, saya akan memikirkan mangsa selama dua atau tiga bulan. Selepas itu saya memburu mangsa baru.

“Saya tak menyesal. Jika saya dipenjara 10, 15 atau 20 tahun akhirnya saya akan bebas. Saya akan membunuh lagi,” katanya.

Sementara itu, pegawai polis tempatan, Pedro Henrique Medina berkata, Gracas menyasarkan mangsa berkulit putih ketika melakukan jenayahnya.

“Dia seronok membunuh wanita berkulit putih. Dia tidak pernah membunuh mangsa berkulit hitam,” katanya.

Menurut undang-undang Brazil, tempoh maksimum penjara ialah 30 tahun dan negara itu tidak menyediakan peruntukan hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:06 AM