ZULKIFLI (tengah) ketika pelancaran Yayasan Amanah ATM, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.
ZULKIFLI (tengah) ketika pelancaran Yayasan Amanah ATM, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Mohd Azam Shah Yaacob


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM), hari ini melancarkan Yayasan Amanah ATM demi membantu masyarakat dan warganya yang memerlukan bantuan.

Sempena pelancaran itu, lebih RM1.1 juta dana berjaya dikumpulkan termasuk menerusi sumbangan syarikat korporat dan orang perseorangan.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, penubuhan yayasan diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-569 pada 19 November 2018.

Katanya, ia juga mendapat kelulusan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai lalu dan akan mengurus dana sumbangan secara efektif, tersusun dan sempurna.

“Yayasan ini ditubuhkan dengan hasrat murni untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat merangkumi kebolehupayaan mendapat penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Ia sememangnya untuk tujuan kebajikan tanpa aktiviti mencari keuntungan dan kita akan pastikan bantuan disalur kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Yayasan ATM di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Zulkifli berkata, matlamat penubuhan yayasan itu seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama diperkenalkan kerajaan dan selari matlamat United Nations Agenda 2030 yang menetapkan bahawa pendekatan pembangunan inklusif tidak akan meminggirkan sesiapa.

Katanya, perolehan sumbangan kepada yayasan itu akan dibuat menerusi beberapa cara antaranya, potongan gaji secara bulanan atau tahunan secara sukarela daripada warga ATM dan kakitangan awam selain sumbangan kerajaan.

“Selain itu, kita berharap agar perolehan dana juga dapat diperoleh menerusi sumbangan korporat, yayasan lain, individu selain daripada Majlis Agama Islam Negeri, Tabung Zakat ATM dan mana-mana sumber bersesuaian.

“Dengan adanya saluran perolehan dana lebih meluas, kita percaya tidak akan mempunyai masalah untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang termasuk agama,” katanya.

Menurutnya, agenda yayasan itu juga untuk membantu meningkatkan tahap pembangunan minda warga ATM dan masyarakat awam melalui program pendidikan dan kemasyarakatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:44 PM