ZULKIFLI beramah mesra bersama jemaah haji ATM pada majlis pelepasan di Masjid Khalid Al Walid, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
ZULKIFLI beramah mesra bersama jemaah haji ATM pada majlis pelepasan di Masjid Khalid Al Walid, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
Mohd Azam Shah Yaacob


GILIRANNYA menunaikan haji kira-kira 80 tahun lagi, namun pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini bertuah apabila menerima jemputan lebih awal dan dapat mengerjakan Rukun Islam kelima, tahun ini.

Mejar Muhammad Kamil Abd Rauf, 31, diberi rezeki menunaikan ibadah itu bersama isterinya Siti Nurwani Ahmad Ridzuan, 31, dan 162 lagi warga ATM yang lain.

Mereka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 3 petang hari ini.

Muhammad Kamil yang berkhidmat di Kor Jurutera Letrik dan Jentera (KJLJ) di Port Dickson berkata, beliau mendaftar haji 2015 dan jangkaan Tabung Haji menetapkan gilirannya pada 2100.

“Ketika itu sudah terlintas di hati bahawa tidak sempat untuk menunaikan haji jika giliran itu, mengambil kira faktor usia.

“Saya dan isteri merancang untuk mengerjakan ibadah ini lebih awal dan pada Mac lalu, kami memohon menerusi kuota untuk warga ATM apabila benar-benar bersedia untuk menunaikannya.

“Alhamdulillah, hajat kami tercapai apabila menerima surat tawaran pada Mei lalu dan terus menjalani kursus persediaan haji serta berharap mendapat haji yang mabrur,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji ATM 2019 di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis pelepasan disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang turut tersenarai sebagai jemaah haji bersama Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 12:16 PM