KAKITANGAN dan ahli PPK MADA yang hadir.
KAKITANGAN dan ahli PPK MADA yang hadir.

Projek Estet Padi antara projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) iaitu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian melalui Program Projek Permulaan (EPP) EPP 10.

Ia mula dilaksanakan di kawasan Muda, Kedah pada musim 2/2011 membabitkan keluasan tanaman seluas 5,016 hektar. Hingga kini (Musim 1/2016) keluasan kawasan projek ialah 25,327 hektar.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sudah menguruskan 475 projek estet padi membabitkan seramai 14,213 peladang.Jumlah keuntungan bersih Projek Estet Padi NKEA bagi keseluruhan PPK dari tahun 2011 hingga tahun 2015 ialah RM12,744,077.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz berkata, PPK MADA sentiasa relevan sebagai penggerak utama dalam mentransformasikan pembangunan sosioekonomi peladang di kawasan Muda. Selain itu beberapa program pembangunan PPK dan peladang giat berjalan sejak tahun 2015 hingga kini.

Beliau berkata, kompleksiti peranan dan tanggungjawab PPK MADA sentiasa meningkat selaras matlamat Dasar Agromakanan Negara menjelang tahun 2020.

“Ia akan menyaksikan segala perancangan di dalam Pelan Korporat PPK MADA 2015-2020 diaplikasikan bagi mencapai sasaran yang sudah ditetapkan di samping penghasilan ‘outcome’ yang positif kepada PPK mahupun peladang amnya.

“PPK mendapat keuntungan bersih bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2015 (belum beraudit) sebanyak RM9.5 juta.

Sementara itu jumlah modal saham yang terkumpul bagi PPK MADA adalah RM16,068,311,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PPK MADA 2016 di Jitra, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Hadir sama Pengurus Besar MADA Fouzi Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA Musa Khamis.

Othman berkata, Pertubuhan Peladang (PP) di kawasan Muda adalah sebuah organisasi peladang yang diuruskan ahli peladang itu sendiri.

“Ahli peladang ini disatukan pada peringkat unit dan melantik jawatankuasa unit, ahli perwakilan serta calon ahli jemaah pengarah untuk dipertandingkan dalam mesyuarat agung perwakilan PPK.

“Pelantikan ini diadakan melalui undian dalam mesyuarat agung unit dan mesyuarat agung tahunan PP setiap tiga tahun. Ahli jemaah pengarah terdiri daripada 11 orang yang dilantik perwakilan.

“Ia merangkumi tujuh anggota biasa dan empat anggota daripadanya adalah dua anggota Peladang Muda dan dua anggota Peladang Nita yang bertanggungjawab sebagai barisan pemimpin peladang tertinggi yang membentuk dasar dan mentadbir urus PPK,” katanya.

Menurutnya, kini terdapat 496 ketua unit dalam kawasan MADA dan keahliannya sejumlah 50,060 anggota. PP dibentuk bagi tujuan memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan ahlinya dengan melaksanakan fungsi perkhidmatan, pengembangan serta perniagaan.

“Sejak penubuhan PPK MADA pada tahun 1968 hingga kini, PPK memainkan peranan penting dalam menjayakan semua agenda transformasi di kawasan Muda.

“PPK berperanan sebagai platform penyaluran bantuan kerajaan kepada peladang, pusat pengembangan dan khidmat nasihat pertanian dan pengairan, pusat kegiatan ekonomi dan perniagaan PPK serta pusat kegiatan aktiviti sosial dan kemasyarakatan,” katanya.

Othman berkata, bagi mengekalkan kecemerlangan PPK, pihak MADA mengambil inisiatif menerbitkan Pelan Korporat PPK MADA 2015-2020 sebagai garis panduan dan menjadi hala tuju kepada PPK untuk melaksanakan program di peringkat PPK.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 12:48 PM