Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria (dua kiri) meninjau keadaan padi di PPK Tanjung Piandang. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria (dua kiri) meninjau keadaan padi di PPK Tanjung Piandang. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Seramai 68 pesawah dari kawasan Kerian Laut iaitu dari kompartmen A, B dan C di sini, mengalami kerugian RM192,000 apabila tanaman padi diusahakan musnah angkara serangan serangga perosak digelar 'bom' atau bena perang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, berdasarkan maklumat diperoleh daripada pihak Jabatan Pertanian Daerah Kerian, seluas 160 hektar sawah padi yang hanya menunggu waktu untuk dituai mengalami kemusnahan sekitar 20 ke 25 peratus akibat serangan penyakit itu.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dan bancian Jabatan Pertanian Daerah Kerian, 68 pesawah dari kompartmen A, B dan C yang diserang bena perang, mengalami kerugian sekitar RM192,000.

"Terbaru, seluas 40 hektar lagi sawah padi di kompartmen D pula mengalami nasib sama apabila diserang serangga perosak itu.

"Selain bena perang, difahamkan 150 hektar lagi sawah padi di kawasan sama (kompartmen A, B dan C) terkesan akibat serangan kesing atau cenganau dan 80 hektar lagi sawah padi diserang penyakit reput perang seludang.

"Berdasarkan bancian dan harga padi semasa termasuk subsidi, setiap pesawah terbabit dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM 3,800 sehektar," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan pemutuan padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Piandang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Razman berkata, pihaknya dijangka akan membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi membolehkan pesawah terbabit mendapat bantuan wajar bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada bantuan boleh diberikan berikutan ia adalah serangan penyakit atau serangga perosak dan tidak tersenarai dalam kategori bencana seperti banjir dan ribut yang membolehkan bantuan diberi kepada pesawah terbabit.

Dalam pada itu, Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridhuan Othman berkata, di peringkat jabatan, pihaknya kini giat menggerakkan unit 'fogging' di kawasan terbabit dengan serangan kesing atau cenangau bagi langkah pencegahan agar ia tidak terus merebak dan memusnahkan tanaman padi.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan agar pesawah kerap turun dan melihat keadaan padi mereka khususnya yang berusia antara 80 ke 85 hari bagi memastikan tiada serangan penyakit dan serangga seperti ini.

"Sekiranya terdapat kesan serangan penyakit itu, kita sarankan agar segera dibuat pencegahan atau memaklumkan pada kami untuk tindakan selanjutnya berikutan serangan penyakit ini amat cepat merebak sekiranya tidak dikawal.

"Berdasarkan kajian dibuat, kami tidak menafikan penyakit ini serta beberapa lagi penyakit baru seperti BPB, hawar daun bakteria dan hawar bulir bakteria disebabkan bawaan benih padi yang tidak sah seperti benih padi India dan Bangla.

"Misalnya di Kompartmen C, khususnya di Tanjung Piandang, kita dapati pelbagai penyakit baru pada sawah padi adalah disebabkan bawaan benih padi yang tidak sah seperti India dan Bangla.

"Malah ada beberapa penyakit yang kita belum tahu jenisnya dan masih dalam kajian pihak jabatan. Justeru penggunaan benih seperti ini memberi impak dan risiko besar kepada industri makanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 4:16 PM