Fairuz Zaidan


PEKERJA am di sebuah syarikat pembersihan diperintahkan melakukan hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama dua jam, setiap hari dalam tempoh dua bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini,

Ia selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah televisyen di sebuah hotel bajet di Bandar Hilir, pada awal Januari lalu.

Tertuduh, Norliza Mohamed Yusof, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lelaki Melayu yang masih bebas mencuri sebuah televisyen bernilai RM1,000 milik Hotel Guest Jalan Laksamana Cheng Ho, Bandar Hilir, pada 3 pagi, 3 Januari lalu.

NORLIZA (kiri) ketika dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
NORLIZA (kiri) ketika dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Norliza yang tidak diwakili memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah, selain mempunyai tanggungan serta baharu diterima bekerja pada awal Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon hukuman setimpal dikenakan kepada terhadap tertuduh supaya dapat memberi pengajaran.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Muhammad Nazrin kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman PKW.

Beliau turut memberi amaran yang tertuduh masih boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan sekiranya gagal mematuhi perintah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 2:11 PM