Tertuduh, Alomgir, 30, dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol jirannya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Tertuduh, Alomgir, 30, dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol jirannya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Rizanizam Abdul Hamid


Melaka: Seorang pekerja kontrak warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari iniatas pertuduhan merogol jirannya 19 Mac lalu.

Tertuduh warga Pakistan, Alomgir, 30, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita Melayu berusia 40 tahun di sebuah rumah beralamat 253D Jalan Parameswara, Banda Hilir, Melaka jam 2.30 pagi 19 Mac lalu.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirhu Samsuddin mencadangkan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah warga negara asing walaupun mempunyai rekod perjalanan yang sah.

Selain itu katanya, tertuduh juga tinggal berhampiran rumah mangsa dan jika dibenarkan jaminan, dikhuatiri mengganggu mangsa sekali gus menjejaskan pendakwaan.

Norma pada penghakimannya menerima hujah Timbalan Pendakwa Raya dan menetapkan 24 April ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 12:54 PM