PENDUDUK USJ membawa tong untuk mengisi air di Pili Awam USJ 3A, Subang Jaya. FOTO Rohanis Shukri.
PENDUDUK USJ membawa tong untuk mengisi air di Pili Awam USJ 3A, Subang Jaya. FOTO Rohanis Shukri.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BACAAN paras bau yang tidak konsisten menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum dapat beroperasi sehingga pagi ini.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, paras bau menurun kepada 0 ton semalam disumbangkan hujan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, paras bau kembali meningkat kepada 1 ton hingga 2 ton pada 6 pagi hari ini, sekali gus menyebabkan air tidak dapat dilepaskan untuk diproses dua LRA berkenaan.

“Air Selangor tidak dapat memulakan operasi di dua LRA sehingga bacaan bau menurun pada 0 ton. Ini bagi mengelak pengguna menerima air yang berbau,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Air Selangor sudah mengedarkan 4,032 botol air minuman di kawasan yang terjejas sehingga pagi ini.

Menurut kenyataan itu, pili awam juga sudah disediakan di beberapa lokasi di daerah terjejas bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air untuk sementara waktu.

“Air Selangor juga membuka kaunter pembelian air untuk pihak ketiga mulai hari ini dan ia boleh dilakukan menerusi kaunter wilayah yang tidak terjejas iaitu Kuala Lumpur, Gombak dan Klang.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk maklumat dan status terkini,” katanya.

Insiden pencemaran air sekali lagi berlaku ekoran pembuangan sisa kimia berjadual dikesan di lurang pembentungan di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Sabtu lalu.

Kejadian itu menyebabkan air Sungai Semenyih tidak dapat dilepaskan dari loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) untuk diproses di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Keadaan menyebabkan lebih 1.5 juta pengguna di empat daerah masing-masing Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Petaling terjejas.

Berita berkaitan

Kesal pencemaran air tak berkesudahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 10:32 AM