ORANG ramai mengambil air di pekarangan Masjid As-Salam Puchong Perdana berikutan gangguan bekalan air sejak Sabtu. FOTO Aswadi Alias.
ORANG ramai mengambil air di pekarangan Masjid As-Salam Puchong Perdana berikutan gangguan bekalan air sejak Sabtu. FOTO Aswadi Alias.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah sejak Sabtu lalu, sudah beroperasi semula mulai 1 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, LRA Bukit Tampoi masih belum dibenarkan beroperasi.

Perkembangan terbaharu itu disahkan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan yang memberitahu proses rawatan dan pengeluaran air terawat akan mengambil sedikit masa sebelum bekalan stabil untuk disalurkan kepada pengguna.

“Pihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini berkaitan penyaluran air terawat kepada pengguna dari semasa ke semasa.

“Untuk memastikan tahap pencemaran bau tidak meningkat semula di air mentah Sungai Semenyih, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil langkah proaktif dengan mengepam air dari Tasik Idaman ke Sungai Semenyih bagi tujuan penstabilan dan pencairan pencemaran bau ini,” katanya, hari ini.

Kata kenyataan itu, sebanyak 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) terus beroperasi 24 jam di empat wilayah terjejas dan pengguna disarankan untuk berurusan dengan pihak Air Selangor supaya aduan dan masalah dapat ditangani segera.

Sabtu lalu, sumber air mentah Sungai Semenyih dikesan mengalami pencemaran bau sejak 7.15 pagi dan insiden memberi impak kepada 1.5 juta pengguna di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Berita berkaitan

Segera 'cairkan' pencemaran Sungai Semenyih

Masih belum dapat 'lepaskan' air

Kesal pencemaran air tak berkesudahan

Alamak air terputus lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:24 PM