PUI Tiong Lam, beramah mesra setelah mengagihkan beg sekolah kepada 25 penghuni Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Pengkalan Chepa. FOTO Siti Rohana Idris
PUI Tiong Lam, beramah mesra setelah mengagihkan beg sekolah kepada 25 penghuni Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Pengkalan Chepa. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


BAPA menghilangkan diri, ibu pula enggan menjaganya menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan di Kota Bharu, membesar dalam jagaan pihak lain.

Dia yang hanya dikenali sebagai Nini itu kini berusia dua tahun dan menjadi penghuni Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Kelantan, Pengkalan Chepa.

Menurut kakitangan rumah perlindungan itu, sejak lahir, Nini sudah diserahkan kepada pihaknya sebaik mendapat perintah mahkamah kerana ibu bapa bermasalah dan ahli keluarga lain enggan menjaga.

“Ketika diserahkan dua tahun lalu, Nini baharu saja dilahirkan dan difahamkan bapa menghilangkan diri, manakala ibunya masih dalam usia muda dan terbabit dalam masalah sosial.

“Sebaik pihak mahkamah memutuskan Nini perlu diberi perlindungan di RKK Mini ini, saudaranya sudah dimaklumkan. Namun, sepanjang tempoh dua tahun Nini di sini, belum ada ahli keluarga yang mengunjunginya atau berhubung menerusi telefon bertanyakan khabarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kanak-kanak itu diraikan di sebuah restoran makanan segera di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, semua penghuni RKK Mini diraikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang ditaja oleh sebuah syarikat keperluan bayi.

Nini adalah antara 25 penghuni RKK Mini Pengkalan Chepa dan adalah kanak-kanak termuda di rumah perlindungan itu.

Wakil rumah perlindungan itu juga berkata, semua penghuni yang berusia antara dua hingga 16 tahun itu membabitkan pelbagai kes termasuk pengabaian keluarga, mangsa seksual dan bayi yang ditinggalkan.

“Semua kes yang dirujuk kepada kami adalah mengikut keputusan mahkamah walaupun ada ahli keluarga yang menentang pengambilan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam berkata, keraian secara tahunan itu adalah bagi menggembirakan kanak-kanak dan remaja berkenaan.

“Keraian ini diadakan sama ada sekali atau dua kali setahun bergantung kepada penyumbang kerana kami turut mengagihkan bantuan kepada ramai lagi penerima

“Untuk majlis ini, selain makanan kami juga mengagihkan beg sekolah kepada penghuni kerana majoriti daripada mereka sudah bersekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 1:02 PM