Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti seramai 33 kanak-kanak di seluruh negara menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, maklumat mengenai kanak-kanak itu diperolehi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pihaknya akan memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit terjaga dengan memberi perlindungan bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan penempatan di tujuh institusi mengikut zon seluruh negara kepada kanak-kanak terbabit yang memerlukan perlindungan akibat Covid-19.

"Ia membabitkan Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena; Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka; TSP Cheras; Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching sebagai penempatan sama ada secara sementara atau tetap.

"Kita akan lihat beberapa situasi atau kategori kanak-kanak ini, sekiranya ada saudara mara sama ada kakak atau abang berusia lebih 18 tahun yang berkemampuan dan layak untuk menjaga mereka, maka kita kita akan permudahkan untuk mereka dijaga oleh saudara terdekat.

"Di samping itu, kita juga akan menyalurkan bantuan bulanan kepada anak-anak yatim piatu ini, selain seramai 140 pelindung kanak-kanak di seluruh negara termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan untuk membantu mereka," katanya.

DATUK Seri Rina Mohd Harun bermesra dengan anak-anak ketika meninjau ketersedian RKK Pokok Sena untuk menerima kemasukan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Rina Mohd Harun bermesra dengan anak-anak ketika meninjau ketersedian RKK Pokok Sena untuk menerima kemasukan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. FOTO Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan dan pemantauan pengoperasian RKK, Pokok Sena, di sini, hari ini.

Rina berkata, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa turut akan diberi kaunseling secara berkala oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia agar emosi mereka terjaga untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, pihaknya turut berharap ahli keluarga terdekat serta jiran akan memberi sokongan serta bantuan kepada kanak-kanak ini agar mereka tidak merasa tersisih.

"Sekiranya ada kes begini, kita harap orang ramai serta pemimpin masyarakat dapat lapor kepada Talian Kasih 1599 atau berhubung dengan mana-mana 108 Pejabat Kebajikan Daerah di seluruh negara supaya tindakan dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 4:05 PM