MOHD Shukri  Hussin, 52 memperkuatkan ikatan restoran terapungnya di Taman Negara  sebagai persiapan berikutan peningkatan air Sungai Tembeling akibat hujan lebat berterusan. FOTO Roselan Ab Malek
MOHD Shukri Hussin, 52 memperkuatkan ikatan restoran terapungnya di Taman Negara sebagai persiapan berikutan peningkatan air Sungai Tembeling akibat hujan lebat berterusan. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


SEBAHAGIAN besar pengusaha restoran terapung di Taman Negara Pahang di Kuala Tahan, Jerantut, memberhentikan sementara operasi mereka sebagai persediaan menghadapi ancaman gelombang kedua banjir yang dijangka melanda Pahang hujung bulan ini.

Sebelum ini, restoran terapung berkenaan sering menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara kerana dapat menikmati hidangan tempatan di atas air Sungai Tembeling sambil menikmati keindahan Taman Negara selain melihat kegiatan harian penduduk tempatan.

Seorang pengusaha restoran terapung, Mohd Shukri Hussin, 52, berkata, ketika ini sebahagian besar pengusaha menumpukan kepada keselamatan rakit yang menempatkan restoran masing masing.

“Biasanya pada penghujung tahun sehingga awal Januari paras air Sungai Tembeling meningkat kerana musim hujan, namun amaran gelombang kedua banjir dijangka bermula 25 dan 26 Disember ini membuatkan kami mengambil keputusan menghentikan operasi buat sementara.

“Pada masa ini, semua pengusaha restoran terapung sudah bersedia dan akan memastikan rakit mereka berada dalam keadaan selamat ketika banjir,” katanya.

Katanya, mereka akan menarik rakit ke tebing sungai terutamanya ke kawasan yang selamat dan jauh dari arus deras Sungai Tembeling selain menambah tali ikatan rakit dan memastikan ia kuat agar tidak mudah dihanyutkan oleh air deras.

Dia berkata, walaupun paras air sungai ketika ini berada pada paras berjaga-jaga, namun mereka mengambil langkah berwaspada kerana bimbang air naik dengan mendadak apabila berlaku hujan di kawasan hulu sungai.

“Ada pengusaha yang sanggup membuka struktur bangunan di atas rakit mereka dan akan memasangnya semula selepas banjir.

“Ini kerana setiap kali selepas banjir akan berlaku kerosakan pada struktur berkenaan akibat dilanda arus deras dan perlu dibaiki sebelum boleh beroperasi kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 12:06 PM