ANGGOTA bomba memantau keadaan banjir di pekan Marudi. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memantau keadaan banjir di pekan Marudi. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bekalan elektrik di Kampung Long Bemang di pedalaman Marudi di Miri terpaksa ditutup bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan banjir yang melanda kampung itu sejak Selasa lalu belum surut, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, berdasarkan pemantauan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) kampung berkenaan pagi tadi, paras air semakin meningkat sehingga mencecah hampir satu meter.

Beliau berkata, banjir mula melanda kampung itu kira-kira 6 pagi Selasa lalu selepas hujan lebat di hulu sungai sekali gus menjejaskan 103 kediaman dengan penduduk seramai 530 orang.

"Bagaimanapun, tiada pemindahan dilakukan kerana semua penduduk yang terjejas tinggal di tingkat atas rumah panjang," katanya.

Menurutnya lagi, lokasi Kampung Long Bemang agak jauh dari pekan Marudi dan memerlukan masa perjalanan antara lima hingga enam jam menaiki pacuan empat roda melalui jalan balak untuk sampai ke penempatan masyarakat Kayan itu.

Sementara itu di pekan Marudi, jurucakap PGO JBPM Sarawak berkata, banjir turut melanda beberapa penempatan antaranya Kampung Dagang, Kampung Baru, Kampung Narum, Kampung Cina dan Jalan Ridan-Feri.

"Pemantauan mendapati trend air menaik berbanding semalam dan kini penduduk mula sibuk memindahkan barangan ke tempat tinggi.

"Keadaan lalu lintas di pekan Marudi juga agak sibuk kerana kenderaan bergerak perlahan apabila beberapa kawasan di Jalan Nakhoda serta Jalan Kampung Narum sudah ditenggelami air," katanya.

Sehubungan itu, bomba menasihatkan penduduk agar sentiasa mengambil langkah waspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan banjir memudaratkan keselamatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 12:21 PM