WANITA memeluk anaknya yang sebelum itu hilang ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut. FOTO Ihsan Pembaca.
WANITA memeluk anaknya yang sebelum itu hilang ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut. FOTO Ihsan Pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi


“SAYA bimbang sesuatu yang tak elok berlaku jadi kami sekeluarga mengambil keputusan menghantar kanak-kanak itu ke balai polis supaya keselamatannya terjamin hingga ahli keluarganya datang,” kata Abdul Halim Sibi.

Abdul Halim, 30, adalah individu yang membantu kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Mohd Hidayatullah Ahmad, 8, yang dipercayai terpisah daripada keluarganya ketika berkelah di Teluk Batik di Lumut, semalam.

Usaha mengesan keluarga Mohd Hidayatullah tular di media sosial, sejak petang semalam.

Menurut Abdul Halim, kejadian 2.20 petang ketika dia serta isteri dan seorang anak dalam perjalanan pulang selepas berkelah di pantai Teluk Batik bersama ahli keluarga lain.

“Ketika turun bukit saya lihat seorang kanak-kanak berjalan seorang diri hampir tiga kilometer dari tempat letak kenderaan.

“Dia mendakwa terpisah dengan ibu dan kakaknya ketika menyalin baju dan tidak menemui mereka biarpun sudah mencari di tempat letak kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia dan isteri menumpangkan Mohd Hidayatullah dan menghantarnya ke balai polis sebelum membuat hantaran di Facebook untuk mengesan keluarga kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak itu hanya memaklumkan dia tinggal di RK dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Balun Bidai, Kampung Gajah yang menjadikan kami buntu bagaimana mahu membantunya sebelum segera ke balai polis.

“Saya menunggu hingga ahli keluarga kanak-kanak itu datang dan pada 4 petang ibunya datang dan mereka menangis serta berpelukan sebaik bertemu.

“Ibunya memaklumkan sudah mencari kanak-kanak itu di sekitar kawasan Teluk Batik dan bertanyakan kepada pengawal pantai serta orang awam di situ sebelum dimaklumkan anaknya berada di balai polis,” katanya yang tinggal di Ipoh.

Abdul Halim berkata, dia membantu atas dasar prihatin dan kejadian itu juga menjadi ingatan kepadanya supaya lebih berhati-hati serta berharap status itu sudah tidak dikongsi lagi kerana kes sudah selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kanak-kanak terbabit sudah diambil ibunya.

Katanya, kanak-kanak itu ditemui orang awam dalam keadaan takut, berjalan kaki seorang diri dan menangis sebelum dihantar ke Balai Polis Seri Manjung untuk tindakan selanjutnya.

“Terima kasih kepada orang awam yang prihatin dengan kejadian ini dan menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada pihak polis.

“Ibu bapa juga dinasihatkan memantau dan memastikan pergerakan anak ketika bercuti bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini terutamanya di musim cuti persekolahan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:29 AM