MOHD Ikmal dijaga Anuar sejak dilahirkan.
MOHD Ikmal dijaga Anuar sejak dilahirkan.

Seremban: “Ibunya melarikan diri selepas lima hari melahirkannya, empat tahun lalu. Sehingga kini usaha menghubungi dan mencarinya tidak berhasil,” kata Anuar Abdul Jalil, 50, yang menjaga kanak-kanak terbabit, Mohd Ikmal, 4.

Berikutan itu, Mohd Ikmal tidak mempunyai sebarang dokumen diri termasuk surat beranak mahupun MyKid dan menyukarkan sebarang urusan dilakukan.

Anuar berkata, ibu kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Intan berusia 30-an yang juga adik perempuan kepada isterinya, Salmiazimah Said, 45, datang ke rumahnya di Gardens Homes, Seremban 2 pada 17 Mac 2010.

Intan dan isterinya terpisah sejak kecil selepas diserahkan kepada sebuah keluarga lain, sebelum bertemu semula empat tahun lalu.

“Ketika itu Intan sarat mengandung dan memberitahu mahu menumpang rumah kami untuk beberapa hari. Namun, keesokan paginya dia tiba-tiba mengadu sakit perut. Isteri terpaksa menyambut kelahiran bayinya di rumah kami.

“Isteri memujuk Intan supaya ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, namun dia enggan. Pada 23 Mac 2010, dia memberitahu mahu ke kedai membeli barang kelengkapan bayi dan sejak itu, dia tidak pulang semula sehingga kini,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, isterinya kemudian membuat laporan di Balai Polis Seremban di sini, kerana bimbang perkara lebih buruk berlaku.

“Saya merayu supaya Intan datang berjumpa kami untuk urusan surat beranak anaknya itu. Kasihanilah Mohd Ikmal sekiranya dia tidak mempunyai warganegara,” katanya.

Katanya, Intan atau individu yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Intan supaya menghubunginya di talian 017-6675707.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:12 AM